MENCARI MALAM YANG LEBIH BAIK DARIPADA SERIBU BULAN

Kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya tidak terbatas dengan penciptaan alam dan segala isinya. Malah hamba-Nya dikurniakan pula dengan satu malam yang amat istimewa iaitu Lailatulqadar atau malam yang amat bernilai. Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Qadr ayat 3, yang bermaksud:
"Malam Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan".
Bagi mereka yang ingin mendapatkan keredhaan dan pahala yang banyak dan berganda, maka malam ini amat ditunggu-tunggu. Satu malam beribadat sama pahala dan ganjarannya seperti beribadat selama seribu bulan. Dengan kata lain, sesiapa yang dapat beribadat pada malam tersebut, seolah-olah telah beribadah selama 83 tahun 4 bulan. Betapa besar dan hebatnya nikmat kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Bagi mereka yang tahu menghargainya, ia adalah hadiah yang tidak ternilai, satu kurniaan daripada Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Persoalannya, bilakah berlakunya Lailatulqadar? Itulah persoalan yang sering menjadi tanda tanya. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Salim daripada bapanya, katanya: seorang lelaki bermimpi melihat malam al-Qadr iaitu pada malam ke-27 bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Aku bermimpi seperti mimpimu iaitu pada 10 malam yang akhir kerana itu carilah dia pada malam-malam yang ganjil".
(HR Muslim)
Sesetengah ulama berpendapat malam Lailatulqadar yang istimewa ini mempunyai beberapa tanda atau alamat yang membezakannya dengan malam-malam yang lain. Antaranya:
1. Keadaan malam yang terang dengan langit yang bersih, tenang lagi sunyi, tidaklah terlalu panas dan tidaklah pula terlalu sejuk. Seolah-olah bulan sedang memancarkan cahayanya.
2. Air laut yang masin bertukar menjadi tawar.
3. Pokok seolah bersujud ke bumi dan kemudian akan tegak kembali seperti asalnya.
4. Matahari akan terbit pada keesokan paginya dengan sinaran yang lemah. Ia terbit dalam bentuk satu bulatan yang rata seperti bulan purnama. Allah s.w.t. telah mengharamkan syaitan keluar bersama matahari pada hari itu. Sebaliknya pada hari-hari yang lain syaitan akan muncul di tempat matahari terbit.
Demikianlah sebahagian kecil tanda Lailatulqadar. Apa yang lebih penting ialah mengisi malam sepuluh yang terakhir dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah, dengan memperbanyakan amal ibadat seperti solat sunat, zikir, munajat, doa dan membaca al-Quran lebih daripada malam-malam Ramadhan yang lain kerana saat itu ibadat digandakan dan doa pula dikabulkan Allah. Tiada lagi malam yang lebih hebat daripada Lailatulqadar.
Mudah-mudahan Allah pertemukan kita dengan malam Lailatulqadar, hanya Allah kita mohon kekuatan dan hanya kepada Allah kita berserah.

Comments

Popular posts from this blog

SURAT PEKELILING: PERKHIDMATAN BIL. 7 TAHUN 2009

PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN (ISMP)

WAWASAN DIRI